KULIAH MINGGUAN USTAZ SOFAN


Isnin mlm selasa - slps maghrib - msjd bandar baru senawang - pelita pnntut & sirajul huda


Rabu mlm khamis mggu 1 & 3 & 5 - slps maghrib - msjd ampangan - ktb simarul jannah


Rabu mlm khamis mggu 2 & 4 - slps maghrib - s.tmn rashibah indah - tajul arus


Jumaat mggu 4 - slps maghrib - surau pinggiran snwg - ktb ahli sunnah wal jamaah


Sabtu mggu 1 & 3 - kuliah subuh - surau jiboi - ringkasan aqidah ahli sunnah wal jamaah


Sabtu mggu 2 - kuliah subuh - surau tmn bukti - ktb
minhajul abidin & munyatul musolli


Sabtu mggu 2 & 4 (9 pg) - msjd negeri - ktb ahli sunnah wal jamaah & smbhyg jemaah


Sabtu mggu 1 & 3 ( 9 pg) - s.rasah kemayan - ktb ahli sunnah wal jamaah & penawar hati


Ahad mlm isnin - slps maghrib - surau tmn bukti - ktb minhajul abidin & munyatul musolli


DI MANAKAH ALLAH?

BERAPAKAH SIFAT WAJIB BAGI ALLAH??

Selasa, 8 April 2008

HAKIKAT SOLAT


الحمد للَه رب العالمين اَلَذى جعل الصلاَةَ طَريقَة المتقين وجعل فيها قرةَ عينِ سيِدِ المرسلين وركنا من اركانِ الدينِ وجعل فيها جنة العاجلة للمحبّين ومعدن اسرار العاشقين

والصلاَة والسلاَم على سيدنا محمد رسول رب العالَميْن وشفيع المذنبن

وعلى اله وصحبِه وعترته الطاهرين اما بعد


Segala puji itu milik bagi Allah Taala semata-mata, Tuhan sekelian alam yang menjadikan sembahyang sebagai jalan orang-orang yang bertakwa dan menjadikannya penyejuk mata penghulu segala rasul-rasul dan menjadikan ia satu rukun daripada rukun-rukun agama dan menjadikannya syurga yang disegerakan bagi golongan muhibbin dan pati segala rahsia orang-orang a’syikin. Selawat dan salam ke atas penghulu kami Muhammad s.a.w utusan Tuhan sekelian alam lagi yang mensyafaatkan orang-orang yang berdosa dan juga selawat serta salam ke atas keluarganya dan sahabatnya serta titisan cucu cicitnya yang suci daripada segala kesyirikan.

Berikut ini hamba yang dhaif lagi hina dan penuh dosa ini menaqalkan beberapa ayat-ayat Al-Quran, hadis dan atsar serta kalam para ulamak tentang asal usul sembahyang serta rahsia khusyuk dalam sembahyang sekalipun bukanlah hamba ini orang yang layak untuk menghuraikan apatah lagi membahaskan sesuatu yang seringkali hamba yang lalai ini taksir dalam melaksanakan perkara yang hamba katakan.


Telah berkata Syeikh Al-A’llamah Al-Busairi dalam qasidah burdahnya:


مَوْلاَيَ صَلِّ وَسَلِّمْ دَائِمًا اَبَدًا * عَلَى حَبِيْبِكَ خَيْرِ الْخَلْقِ كُلِّهِمِ

اَسْتَغْفِرُ اللهَ مِنْ قَوْلٍ بِلاَ عَمَلٍ * لَقَدْ نَسَبْتُ بِهِ نَسْلاً لِذِىْ عُقُمِ

اَمَرْتُكُ الْخَيْرَ لَكِنْ مَا أْتَمَرْتُ بِهِ * وَمَا اسْتَقَمْتُ فَمَا قَوْلِىْ لَكَ اسْتَقِمِ

وَلاَ تَزَوَّدْتُ قَبْلَ الْمَوْتِ نَافِلَةً * وَلَمْ اُصَلِّ سِوَى فَرْضِىْ وَلَمْ اَصُمِ

Ertinya:

*Aku mohon ampun kepada Allah daripada dosa berkata-kata tanpa amal, kerana hal itu samalah seperti mencari keturunan dengan berkahwin orang yang mandul.

* Aku menyuruh engkau berbuat baik tetapi aku tidak membuatnya dan aku menyuruh engkau beristiqamah tapi aku sendiri tidak tetap pendirian.

* Malangnya nasibku.... tidak aku berbekal sebelum mati dan tidak aku sembahyang atau puasa kecuali yang wajib-wajib sahaja.



Definasi sembahyang

Erti sembahyang pada segi bahasa: Doa atau hubungan.

Erti sembahyang pada segi syarak: Tiap-tiap perbuatan dan perkataan yang dimulai dengan takbir dan disudahi dengan salam beserta syarat-syarat yang tertentu.


Asal-usul sembahyang

Adalah sembahyang satu ibadah yang tidak diwajibkan melalui wahyu tetapi langsung dijemput nabi Muhammad s.a.w oleh Allah ke Sidratul muntaha lalu dihadiahkan sembahyang. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim (Syeikhani).


فَرَضَ اللهُ عَلَى اُمَّتِىْ لَيْلَةَ اْلاِسْرَاءِ خَمْسِيْنَ صَلاَةً

فَلَمْ اَزَلْ أُرَاجِعُهُ وَاَسْأَلُهُ التَّخْفِيْفَ

حَتَّى جَعَلَهَا خَمْسًا فِى كُلِّ يَوْمٍ وَلَيْلَةٍ


Ertinya: Telah mefardhukan oleh Allah ke atas umatku pada malam israk sebanyak lima puluh waktu sembahyang, maka sentiasalah aku berulang alik kepada Allah dan aku pohon keringanan sehingga Allah menjadikan sembahyang lima waktu sehari semalam.


Peristiwa ini berlaku pada tahun kesepuluh kenabian yakni ketika Rasulullah s.a.w berumur 50 tahun dan baru kematian isterinya, Saidatina Khadijah r.a dan bapa saudaranya Abu Talib.


Walau bagaimanapun sembahyang pertama yang didirikan oleh baginda s.a.w ialah sembahyang Zohor bukan sembahyang Subuh kerana ketika pulang dari israk, baginda tidak tahu cara perlaksanaan sembahyang. Setelah masuk waktu Zohor barulah turun Saiyidina Jibril a.s mengajar baginda s.a.w cara sembahyang selama dua hari berturut-turut, Jibril a.s menjadi imam manakala baginda s.a.w menjadi makmum.


Adalah baginda s.a.w sebelum dilantik menjadi Nabi, ibadah beliau adalah berkhalwat serta memikirkan nikmat-nikmat Allah di gua hira’ selama setahun dan memuliakan tetamu. Kemudian setelah dilantik menjadi Rasul, baginda bersembahyang dua rakaat di waktu pagi dan dua rakaat di waktu petang (intaha kalam Syeikh Ibnu Hajar Al-Haitami).


Sabit pada syarah musnad Imam Rafie dan musnad Imam Syafie, sembahyang Subuh bagi Nabi Adam a.s, Zohor bagi Nabi Ibrahim a.s, Asar bagi Nabi Yunus a.s, Maghrib bagi Nabi Isa a.s dan Isyak bagi Nabi Musa a.s.


Dan pada satu riwayat yang lain, sembahyang Subuh bagi Nabi Adam a.s, Zohor bagi Nabi Daud a.s, Asar bagi Nabi Sulaiman a.s, Maghrib bagi Nabi Ya’kub a.s dan Isyak bagi Nabi Yunus a.s.


Hikmah dikurangkan sembahyang 50 waktu kepada 5 waktu padahal Allah s.w.t mengetahui pada azali bahawasa umat Nabi Muhammad s.a.w akan sembahyang hanya 5 waktu sahaja adalah untuk menzahirkan kebesaran makam Nabi s.a.w disisi Allah Taala.


Telah berkata Syeikh Abdul Wahab Sya’rani dalam kitab Al-Mizan:

“Jika disoal apakah hikmah diulang-ulang sembahyang sebanyak 5 kali, maka dijawab: Supaya kita ingat tiap-tiap kali bersuci untuk sembahyang tatkala hendak menghadap Allah s.w.t, seseorang itu akan meminta ampun terhadap dosa-dosanya dan juga anggota pancaindera kita ada 5, maka seolah-olah mengisyaratkan oleh 5 waktu kepada mengkifaratkan dosa 5 anggota.


Telah mengisyaratkan demikian oleh Nabi s.a.w:

اَرَئَيْتُمْ لَوْ كَانَ بِبَابِ اَحَدِكُمْ نَهْرٌ يَغْتَسِلُ مِنْهُ فِى الْيَوْمِ وَاللَّيْلَةِ خَمْسَ مَرَّاتٍ

اَكَانَ ذَلِكَ يَبْقَى مِنْ دُرْنِهِ قَالُوْا لاَ قَالَ فَذَاكَ

مِثْلُ الصَّلَوَاتِ الْخَمْسِ يَمْحُو اللهُ بِهِنَّ الْخَطَايَ


Ertinya: Adakah kamu melihat di pintu salah seorang kamu sebatang sungai yang dia mandi padanya sehari semalam sebanyak 5 kali, adakah yang tinggal kotoran pada badannya?. Berkata para sahabat, tidak. Lalu bersabda Nabi s.a.w, seumpama demikian itulah sembahyang 5 waktu menghapuskan oleh Allah dengan sebab sembahyang tersebut akan segala dosa-dosanya.


Bagaimanakah seharusnya kita mengerjakan sembahyang?


Sabda Nabi s.a.w:

صَلُّوْا كَمَا رَأَيْتُمُوْنِىْ اُصَلِّىْ


Ertinya: Sembahyanglah oleh kamu sepertimana kamu lihat aku bersembahyang.


Maksud hadis ini:

Sepertimana telah disebut di dalam kitab-kitab fekah:


رَأَى بَصَرِيَّةٌ بِالنِّسْبَةِ لِلصَّحَابَةِ وَعِلْمِيَّةٌ بِالنِّسْبَةِ لِمَنْ بَعْدَ

وَفَاةِ النَّبِىِّ صَلَّى اللهُُُُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

اَىْ صَلُّوْا كَمَا عَلِمْتُمُوْنِىْ اُصَلِّى كَمَا فَسَّرَ بِذَلِكَ الْعُلَمَاءُ


Ertinya: Maksud melihat Nabi sembahyang itu bagi nisbah para sahabat adapun bagi nisbah mereka sesudah wafat Nabi s.a.w adalah melalui ilmu yakni hendaklah kita sembahyang atas jalan yang diambil daripada para ulamak umat ini yang dahulu dan kemudian seperti yang tersebut di dalam kitab-kitab mereka seumpama kitab mazhab Syafie, Hanafi, Maliki atau Hanbali, bukan langsung daripada Al-Quran dan hadis lalu difahamkan dengan akal sendiri seperti yang banyak berlaku di zaman kita sekarang ini.


Rahsia khusyuk dalam sembahyang


Sabda Nabi s.a.w:

صَلُّوْا كَمَا رَأَيْتُمُوْنِىْ اُصَلِّى


Ertinya: Sembahyanglah oleh kamu sepertimana kamu lihat aku bersembahyang.

Difaham daripada hadis ini kita diperintahkan bersembahyang seperti yang telah dikupas oleh para ulamak tentang cara Nabi s.a.w bersembahyang yakni mengikut zahir dan batin Nabi s.a.w ketika sembahyang. Malangnya umat islam sekarang ini banyak yang sembahyang mengikut zahir baginda s.a.w sahaja tanpa menghiraukan batin Nabi s.a.w, malahan ada yang sanggup membida’hkan cara sembahyang orang lain kerana beranggapan dirinya sahaja yang benar padahal sifat hatinya jauh daripada sifat hati baginda s.a.w ketika sembahyang.

Firman Allah Taala:

Surah Al-Imran – ayat 31.

قُلْ اِنْ كُنْتُمْ تُحِبُّوْنَ اللهَ فَاتَّبِعُوْنِىْ يُحْبِبْكُمُ اللهُُُُُُُُُُُُُُُُُُُُُُُُُُُ

Ertinya: Katakanlah (wahai Muhammad) jikalau kamu kasih kepada Allah maka hendaklah kamu ikut aku (Muhammad s.a.w) nescaya Allah akan kasih kepada kamu.

Berdasarkan ayat ini semakin jelaslah kepada kita untuk mengikut zahir dan batin Nabi s.a.w, barulah kita akan mendapat kasih Allah s.w.t.


Bagaimanakah batin Nabi s.a.w ketika sembahyang?


Adalah baginda Nabi s.a.w sentiasa hadir hati, khusyuk, tawadhuk, haibah dan bermusyahadah terhadap Allah s.w.t di dalam sembahyang baginda.


Sepertimana telah disebutkan di dalam kitab Kasyful Mahjub, setelah baginda s.a.w kembali daripada israk dan mikraj beliau berdoa:

اَللَّهُمَّ لاَ تُرْجِعْنِىْ اِلَى دَارِ الْبَلاَءِ وَلاَ تَضَعْنِىْ تَحْتَ قُيُوْدِ الطَّبْعِ وَالْهَوَى

Ertinya: Ya Allah!! janganlah Engkau kembalikan aku kepada negeri yang penuh bala dan janganlah Engkau letakkan aku dalam segala ikatan tabiat dan hawa nafsu.

فَاَجَابَهُ تَعَالَى اِنَّهُ قَدْ سَبَقَ فِى الْعِلْمِ اَنْ تَرْجِعَ

اِلَى الدُّنْيَا لِكَىْ تُؤَيِّدَ الشَّرْعَ الشَّرِيْفَ

حَتَّى اُعْطِيَكَ هُنَاكَ مَا مَنَحْتُكَهُ هُنَا


Ertinya: Maka telah menjawab oleh Allah s.w.t: Sungguh telah terdahulu dalam IlmuKu bahawa engkau akan kembali ke dunia supaya menguatkan syariat sehingga Aku berikan engkau di sana (dunia) apa yang Aku kurniakan engkau di sini (syurga).


Maka tatkala telah kembalilah oleh Rasululah s.a.w ke dunia sentiasalah baginda bersabda kerana kerinduannya kepada ini makam yang tinggi:

اَرِحْنَا بِالصَّلاَةِ يَا بِلاَلُ

Ertinya: Rehatkanlah kami dengan sembahyang wahai Bilal.


Adalah manusia melihat baginda s.a.w dalam sembahyang padahal hatinya di langit yang tinggi. Adalah jasad baginda s.a.w di alam ini padahal rohnya berada di alam malakut.

Beginilah antara sifat batin Nabi s.a.w yang telah ditinggalkan oleh kebanyakan orang islam di zaman ini. Inilah punca kita melihat banyak orang sembahyang tetapi masih membuat maksiat kerana tidak ada khusyuk dalam sembahyang.


Sabda Nabi s.a.w:

مَنْ لَمْ تَنْهَهُ صَلاَتُهُ عَنِ الْفَحْشاَءِ وَالْمُنْكَرِ لَمْ يَزْدَدْ مِنَ اللهِ اِلاَّ بُعْدًا

Ertinya: Sesiapa yang tidak mencegah oleh sembahyangnya akan dirinya daripada membuat kemungkaran nescaya tidak bertambahlah ia daripada Allah kecuali bertambah jauh.


Ini disebabkan sembahyang orang yang lalai tidak mungkin mencegah kemungkaran, padahal adalah hakikat sembahyang itu bermunajat kepada Allah s.w.t.


Sabda Nabi s.a.w:

اَلْمُصَلِّىْ يُنَاجِىْ رَبَّهُ (رواه انس متفق عليه)


Ertinya: Orang yang sembahyang itu bermunajat kepada Tuhannya.

Maka apakah perkataan beserta ghaflah (kelalaian) itu munajat??. Sudah tentu tidak.


Hukum khusyuk dalam sembahyang


Mengikut muktamad fukaha’ adalah khusyuk itu bukan rukun sembahyang tetapi sunat yang sangat di tuntut namun jika dipandang sudut diterima (makbul) atau tidak sembahyang itu ianya sangat bergantung kepada kekhusyukan dan hadir hati seseorang ketika sembahyang sepertimana firman Allah Taala dalam surah Toha – ayat 14.

اَقِمِ الصَّلاَةَ لِذِكْرِىْ

Ertinya: Dirikanlah sembahyang bagi mengingatiKu.


Zahir ayat ini menunjukkan perintah supaya hadir hati di dalam sembahyang itu wajib dan lalai itu lawan bagi hadir hati kerana itulah sabda Nabi s.aw:

لَيْسَ لِلْعَبْدِ مِنْ صَلاَتِهِ اِلاَّ مَا عَقَلَ مِنْهَا

Ertinya: Tidaklah bagi si hamba itu pahala sembahyangnya kecuali apa yang dia hadirkan hati padanya.


Peringkat-peringkat khusyuk:


Tersebut di dalam kitab Ihyak ulumuddin terdapat 6 peringkat khusyuk seseorang di dalam sembahyang.


1- حُضُوْرُ الْقَلْبِ - Hadir hati.

2- اَلتَّفَهُّمُ - Memahami makna-makna bacaan sembahyang.

3- اَلتَّعْظِيْمُ - Membesarkan.

4- اَلْهَيْبَةُ - Gerun.

5- اَلرَّجَاءُ - Harap.

6- اَلْحَيَاءُ - Malu.


Petikan daripada kitab Munyatul musalli:

Maka adalah bagi sembahyang itu rupa yang zahir yang sempurna iaitu syarat seperti rohnya, rukun seperti kepala dan badannya, sunat aba’dh seperti anggota yang lain, sunat haiah seperti segala bulu perhiasan. Adapun rupa hakikat yang batin yang tidak sempurna sembahyang itu melainkan dengannya iaitu khusyuk, hadir hati, sempurna, ikhlas, tazallul, tafahhum, tasbih dan lain-lain. Maka zahir sembahyang itu bahagian badan dan anggota, batin sembahyang pula bahagian hati dan sir. Demikian itulah tempat tilik Allah s.w.t iaitu hati dan sir.


Kata Muhammad bin Ali Turmizi r.a:

Allah berkehendak supaya si hamba menghadapNya dalam keadaan tazallulan (merendahkan diri), tasliman (menyerahkan diri bagi Tuhannya), tabazzulan (menghinakan diri), takhadduan (tetap hati), takhasyuan (dengan khusyuk), taraghuban (gemar dan suka), tamalluqan (rindu dendam).

Maka berdiri itu rupa tazallul, takbir itu rupa taslim, doa iftitah dan tilawah itu rupa tabazzul, rukuk itu rupa takhaddu’, sujud itu rupa takhasyuk, duduk itu rupa taraghub, tasyahud itu rupa tamalluq. Maka berhadap segala hamba kepada Allah dengan segala sifat-sifat ini mudah-mudahan Allah s.w.t akan tarahum (kasihan dan lemah lembut) dan menerima sembahyang seseorang itu. (Intaha kalam Munyatul Musalli).


Kesimpulan:

Adalah sangat mustahak seseoarng itu mendirikan sembahyangnya mengikut zahir dan batin Nabi s.aw lebih-lebih lagi menghadirkan hati dalam sembahyang yang merupakan syarat mutlak makbulnya sembahyang seseorang itu.

Sekian ringkasan sembahyang dan rahsia khusyuk sekadar yang dibukakan oleh Allah buat renungan diri hamba dan tuan-tuan. Mudah-mudahan Allah s.w.t memudahkan kita khusyuk dan hadir hati di dalam sembahyang dan di luar sembahyang.